Hidupan aneh di laut dalam

hidupan aneh
HIDUPAN laut dalam adalah sangat pelik dan sukar dibayangkan. Ini termasuk timun laut lut cahaya yang mempunyai sesungut, cacing tiub pemakan sisa minyak dan sotong primitif yang mengepakkan sirip berbentuk telinga.

Minggu ini pula, sekumpulan saintis telah berjaya menemui haiwan krustasia seperti udang gergasi pada kedalaman tujuh kilometer (km) di perairan New Zealand dengan saiznya dianggarkan 10 kali ganda berbanding spesies berkaitan yang bersaiz normal.

udang gergasiPenyelidik New Zealand, Alan Jamieson menunjukkan spesies udang gergasi yang ditemui pada kedalaman 7,000 meter.

Haiwan laut dalam yang tergolong dalam kumpulan kategori amphipod itu ditemui dalam satu ekspedisi menuju ke Kermadec Trench yang terletak di utara New Zealand oleh saintis dari Universiti Aberdeen dan Institut Penyelidikan Marin NIWA, Wellington.

Haiwan amphipod biasanya membesar sehingga tiga sentimeter (sm).

“Penemuan ini membuktikan bahawa kita hanya tahu sedikit mengenai hidupan laut dalam di New Zealand,” jelas ketua saintis NIWA, Ashley Rowden.

Lautan merupakan misteri alam yang belum diterokai sepenuhnya. Ia meliputi 70 peratus permukaan bumi dengan kapasiti 1.3 bilion kilometer padu air.

Jurang

Bahagian laut yang paling dalam di dunia kebanyakannya terletak di Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang aktif dengan aktiviti gunung berapi dan gempa bumi.

Di situ, aktiviti seismik telah membentuk jurang-jurang besar dengan kedalaman di antara 5,000 meter (m) hingga 10,000m. Kawasan itu sangat gelap dan mempunyai tekanan seperti meletakkan berdozen-dozen pesawat gergasi ke atas tubuh seorang manusia, kata saintis.

Laut paling dalam di dunia dikenali sebagai Challenger Deep, terletak di Mariana Trench di Lautan Pasifik. Sesetengah orang menganggap femonena itu sebagai keajaiban bahkan tanda kebesaran Tuhan.

Ini kerana sementara gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest menjulang sehingga 8,848 meter ke udara, Challenger Deep terbenam 10,916m ke dasar laut.

Pensyarah Oseanografi Fizik, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berpendapat kedalaman yang luar biasa, tekanan dan suhu tinggi serta air yang bertoksik menyebabkan organisma di kawasan itu kelihatan pelik.

“Hidupan laut biasanya hidup dalam lingkungan 200 meter dari permukaan laut kerana kawasan itu boleh ditembusi cahaya matahari yang menjadi sumber tenaga.

“Ia tidak mampu menanggung tekanan, suhu dan kadar toksik yang tinggi,” ujarnya.

Fadzil berkata, sistem biologi organisma ini yang berbeza daripada kebiasaan telah mencetuskan semangat saintis untuk menerokai kawasan itu.

Bagaimanapun, beliau menambah, belum ada saintis Malaysia yang terlibat dalam penerokaan jurang laut itu.

Menurut beliau, jurang laut terjadi disebabkan pertembungan pelantar tektonik dan ia banyak ditemui di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

“Laut China Selatan sendiri hanya mempunyai kedalaman maksimum 70 meter. Cuma perairan di utara Sabah, kedalaman itu mencecah sehingga 2,000 meter,” katanya.

Fadzil pernah terlibat dengan kajian di dasar laut Australia yang sedalam 3,000m.

“Tetapi ia hanya melibatkan aktiviti pengambilan data dan amat berbeza dengan kajian jurang laut yang dalamnya melebihi 6,000 meter,” katanya.

Sejak beberapa dekad lalu, laut dalam telah mencetuskan perlumbaan dalam kalangan negara-negara maju untuk menerokanya, sama seperti perlumbaan meneroka angkasa lepas.

Sebagai contoh, China kini mahu memberi perhatian kepada lautan pula.

Sebagai sebahagian daripada program eksplorasi laut dalamnya, sebuah kapal selam yang dinamakan Jiaolong telah sampai ke titik terendah, 5,057m di bawah Lautan Pasifik pada Julai tahun lalu.

LUBANG pada kedalaman 5,000 meter di Laut Caribbean mempunyai suhu 450 darjah Celcius.

jurang lautLubang pada kedalaman 5,000 meter di Laut Caribbean mempunyai suhu 450 darjah Celcius.

Rekod

Misi itu dilakukan 50 tahun selepas sebuah kapal selam yang dinamakan Trieste dilepaskan kira-kira 10,000m ke dasar Challenger Deep di Mariana Trench.

Impian China tersebut turut membawa bersama seorang pengarah filem, James Cameron.

Cameron ke sana bagi merakamkan panorama daripada kedalaman 7,000m di bawah laut untuk dimuatkan dalam sekuel filem blockbusternya, Avatar. Laut dalam itu dikatakan sangat sesuai untuk menggambarkan kehidupan makhluk asing di planet Pandora.

Tiga orang kru Jiaolong, Tang Jialing, Fu Wentao dan Ye Cong berharap agar pada tahun ini mereka dapat membawa kapal selam sepanjang lapan meter yang diperbuat daripada titanium itu pergi jauh sehingga 7,000m ke bawah.

Sekiranya selaman itu berjaya, ini bermakna Jiaolong yang dinamakan bersempena sejenis naga laut itu bakal mengatasi kapal selam Jepun, Shinkai untuk menjadi kapal selam terdalam di dunia.

Misi itu dikatakan lebih baik berbanding program eksplorasi angkasa. Pada tahun 2003 China merupakan negara ketiga yang menjalankan penerokaan laut menggunakan kapal selam yang dipandu manusia.

Satu-satunya ekspedisi yang telah sampai lebih dalam daripada misi kali ini adalah selaman Trieste pada tahun 1960. Trieste adalah sebuah sfera dengan panjang 2.1 meter. Dinding kelulinya setebal 12.7 sentimeter dan ia menyerupai sebuah belon udara panas. Trieste dilepaskan ke Challenger Deep.

Bagaimanapun, kapal selam itu tidak dapat dikawal untuk pergi sepanjang bawah lantai laut itu kerana salah satu tingkapnya retak.

Ia membawa Jacques Piccard iaitu anak lelaki penciptanya, Profesor Auguste dan seorang pegawai laut Amerika Syarikat, Don Walsh sehingga ke kedalaman 10,916m di bawah laut.

Mereka dilaporkan telah melihat sejenis ikan sole yang banyak dan udang yang berenang melaluinya.

Credit:SUMBER

Hati Putera

Nama nick saya ialah Hati Putera. Merupakan seorang juruteknik komputer bahagian perkakasan. Menulis hanyalah sekadar mengisi masa lapang. Meminati SEO dan sekarang mula belajar tentang IM. Don't forget to Follow my blog with Bloglovin and lifestyle blogs blogs

22 Comments

  1. Sesungguhnya Maha Besar Allah sahaja yang mengetahui segala rahsia alam.

  2. Ini kalau masak lemak cili api pun sedap ni? :D

    Laut dalam masih banyak lagi spesies yang belum di jumpai, ada chance nak bubuh nama sendiri untuk species baru kan?

  3. jelajah dasar laut lagi berfaedah kot.. at least benda yang ada dalam laut tu boleh dijadikan makanan

  4. hahh…yg ni farahaznil ada baca di kosmo…huhu..cuba bayangkan ada spesis yg sama..tapi lagi besar..lagi bsr dari lobster !! huu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge