BUNOHAN Filem Melayu Terbaik Abad Ini?


Bunohan merupakan filem yang mula diperkatakan mengenai kehebatannya jauh sebelum ia ditayangkan di pawagam.

Sejak ‘trailer’ filem tersebut disiarkan di laman Youtube tahun lalu, penggiat dan penggemar filem tanah air mula merasakan yang ia bakal membawa standard tersendiri dalam dunia perfileman tempatan dan antarabangsa.

Ternyata telahan itu benar.

Awal-awal lagi filem tersebut dihidu Universal Pictures yang berjaya memperoleh hak pengedarannya

Sejak ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Toronto, September tahun lalu, filem terbitan Nandita Solomon itu turut berjaya menembusi beberapa festival lain termasuk Festival Filem Taipei Golden Horse 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo 2011, Festival Filem Antarabangsa Palm Spring, Festival Filem Asia 2011 di Bali, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam 2012 dan Fantastic Fest 2011 di Amerika Syarikat.

Selain itu, kehebatan jalan cerita Bunohan yang dibintangi Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Bront Palarae, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Sofi Jikan dan ramai lagi itu berjaya dipasarkan di hampir 30 negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Terbaru filem berkenaan juga mendapat pujian melambung daripada Ahli Parlimen Remabu yang juga Ketua Pemuda UMNO sendiri, Khairy Jamaluddin.

Dalam satu temubual di sebuah akhbar baru-baru ini, pengarahnya Dain Said menyifatkan Bunohan adalah naskhah yang dilahirkan dari hati yang tulus serta dekat di hatinya.

Apatah lagi, dibesarkan di Tumpat, Kelantan, Dain begitu tertarik dengan aktiviti tomoi yang menjadi aktiviti wajib dan menjana ekonomi daripada kelab-kelab tomoi.

“Boleh dikatakan Bunohan lahir daripada pengamatan dan pengalaman saya sewaktu kecil yang melihat bagaimana aktiviti tomoi juga sebenarnya mempunyai metafora di sebalik definisi ganas yang sering dilabelkan.

“Ia sebenarnya menghubungkan ikatan kekeluargaan mereka menerusi perniagaan yang dijalankan sekali gus memberi idea kepada saya untuk menulis naskhah ini.

“Mungkin ada yang tidak tahu, Bunohan itu juga merupakan sebuah tempat di Kelantan,” katanya yang memberitahu kisah Bunohan sudah berada dalam mindanya sejak lima tahun lalu sebelum dia mengarahkan filem pertamanya, Dukun.

Namun kata Dain, bukanlah kisah tomoi yang menjadi tunjang kepada penceritaan Bunohan tetapi ia sebenarnya memaparkan kisah hubungan kekeluargaan antara tiga adik-beradik yang dilakonkan oleh Faizal, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim.

Bunohan berkisar mengenai Adil yang terbabit dalam pertarungan tomoi maut di Thailand, namun dia diselamatkan rakan baiknya, Muski. Kerana melanggar peraturan, Adil diburu oleh Ilham, pembunuh yang diupah oleh penganjur pertandingan haram itu.

Muski membawa Adi pulang ke kampung mereka, Bunohan. Tanpa disedari, Ilham ialah abang tirinya yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak melarikan diri ketika remaja, selepas ibu bapanya bercerai. Ilham menjejaki Adil hingga ke Bunohan.

Di sana, abang Adil, Bakar turut pulang ke kampung atas alasan menjaga bapa mereka yang sakit. Sebenarnya dia mempunyai agenda jahatnya.

Wow…sebenarnya penulis cukup teruja bila membaca komen-komen, trailer serta jalan cerita filem tersebut.

Mungkinkah benar pendapat yang mengatakan Bunohan adalah filem Melayu terhebat abad ini?

Saksikan ia di pawagam mulai 8 Mac ini…tungguuuuuuu….
SUMBER

 

Comments

  1. yaz recall says

    I truly enjoy studying on this web site, it has great articles. "A short saying oft contains much wisdom." by Sophocles.